Ahad, 4 Ogos 2019 | 5:47pm
Contoh jenis pesawat ringan empat tempat duduk jenis Sling yang terhempas di Tanzania. - Foto Google

2 maut pesawat ringan terhempas di Tanzania

DAR ES SALAAM: Dua rakyat Afrika Selatan terbunuh apabila sebuah pesawat ringan terhempas di barat Tanzania, kata pihak berkuasa.

Menurut Pihak berkuasa Penerbangan Awam Tanzania (TCAA), pesawat empat tempat duduk jenis Sling itu, menghantar isyarat amaran kerosakan enjin ketika memasuki ruang udara Tanzania dari Uganda, dalam penerbangan ke Malawi, sebelum hilang daripada radar.

“Juruterbang dan penumpang kedua-duanya rakyat Afrika Selatan, terbunuh dalam kemalangan yang berlaku sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Tabora, kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan),” kata pesuruh jaya daerah Sikonge, Peres Magiri kepada stesen televisyen ITV.

Pesawat itu dilaporkan terbakar selepas terhempas dan hanya enjin dan beberapa bahagian lain berjaya dikesan. Ia adalah milik sebuah pertubuhan Afrika Selatan dikenali sebagai ‘U-Dream Global’.

Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan berkata, pihaknya bakal melakukan siasatan berhubung kejadian itu dan tidak mengemukakan sebarang butiran setakat ini.

U-Dream Global mula menjadi perhatian antarabangsa pada Jun lalu, apabila sekumpulan pelajar berjaya membina pesawat Sling empat tempat duduk dan menerbangkan pesawat itu dari Cape Town ke Kaherah.

Menurut maklumat laman web pertubuhan itu, ia adalah sebuah organisasi NGO yang ditubuhkan oleh juruterbang muda dan penceramah motivasi, Megan Werner pada 2018. - Reuters

Berita Harian X