Selasa, 6 Ogos 2019 | 8:20pm
Mugabe kini dirawat di sebuah hospital Singapura untuk penyakit tidak diketahui namun bekas pemimpin Zimbabwe itu dilaporkan tidak boleh berjalan akibat uzur. -Foto AFP

Mugabe dirawat di hospital Singapura sejak April

HARARE: Bekas pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe masih dirawat di sebuah hospital di Singapura sejak beberapa bulan lalu, kata penggantinya Presiden Emmerson Mnangagwa semalam.

Dalam satu kenyataan, Mnangagwa berkata, Mugabe, 95, menerima rawatan untuk penyakit yang tidak didedahkan serta bertindak balas dengan baik terhadap rawatan.

“Presiden pengasas dan bapa pengasas negara Robert Mugabe masih dirawat di hospital Singapura di mana beliau menerima rawatan perubatan.

“Tidak seperti sebelumnya apabila bekas presiden hanya memerlukan tempoh sebulan untuk rawatan, kali ini doktor bertegas supaya beliau dipantau lebih lama sejak April lalu untuk menjalani pemeriksaan susulan rutin,” kata Mnangagwa.

November lalu, Mnangagwa mengumumkan, Mugabe kini tidak boleh berjalan kerana uzur dan berkata, beliau sudah menghantar satu pasukan termasuk ketua setiausaha kabinet, Misheck Sibanda ke Singapura minggu lalu untuk memeriksa keadaan bekas pemimpin itu.

“Saya berbesar hati memaklumkan negara, bekas presiden terus membuat perkembangan berterusan untuk pulih dan keadaannya kini stabil,” kata Mnangagwa.

Pasukan yang melawat Mugabe melaporkan, beliau ‘bertindak balas baik terhadap rawatan’ dan ‘kerana perkembangan baik, bekas pemimpin itu mungkin dibenarkan keluar tidak lama lagi.’

Apabila kerajaan pada April lalu mengumumkan Mugabe berlepas ke Singapura untuk mendapatkan rawatan perubatan pada Mei, ia berkata, beliau dijangka pulang pada pertengahan bulan itu. -AFP

468 dibaca
Berita Harian X