Isnin, 2 September 2019 | 9:46am

15 maut bangunan runtuh di Mali

BAMAKO: Seramai 15 orang terbunuh selepas sebuah bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di sini, kata kerajaan dan media tempatan.

Seramai 26 orang berjaya diselamatkan daripada bangunan yang sudah diduduki sebahagiannya itu, selepas ia runtuh menjelang subuh.

“Terima kasih di atas usaha petugas perkhidmatan kecemasan, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun berjaya ditarik keluar daripada runtuhan itu dengan selamat.

“Seorang lagi mangsa juga berjaya dikeluarkan dengan selamat,” kata kementerian perlindungan awam yang sudah membuka siasatan terhadap pemilik bangunan berkenaan.

Menurut laporan media, tingkat paling atas bangunan terbabit runtuh dan menimpa tingkat lain di bahagian bawah yang sudah diduduki.

Insiden bangunan runtuh agak lazim di Mali kerana bangunannya sering dibina tanpa kebenaran, perincian dan pemantauan yang ketat. - AFP

138 dibaca
Berita Harian X