Ahad, 8 September 2019 | 7:14pm
Robert Mugabe. - Foto AFP

Mayat Robert Mugabe dijangka tiba minggu depan

HARARE: Anak Saudara mendiang Robert Mugabe berkata, delegasi dari Zimbabwe dijangka berlepas esok untuk membawa pulang mayat bekas pemerintah kuku besi yang meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura, dua hari lalu.

Pemimpin gerila yang berkuasa selepas Zimbabwe bebas dari Britain dan memerintah selama 37 tahun, meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 95 tahun.

Kesihatannya semakin merosot sebaik digulingkan tentera pada November 2017. Difahamkan beliau berulang alik ke Singapura untuk mendapatkan rawatan sejak April lalu.

“Saya tidak dapat memberikan tarikh yang pasti, apa yang saya tahu delegasi itu akan berangkat dari Zimbabwe esok untuk mengambil mayat berkenaan,” kata Leo Mugabe kepada AFP.

“Kita anggap mereka akan tiba di sana pada Selasa dan logik jika saya katakan bahawa mereka akan mendarat di sini pada Rabu,” katanya.

Senarai akhir ahli keluarga yang bakal mengiringi juga sedang dimuktamadkan.

Pernah dikagumi sebagai pejuang kebebasan Zimbabwe daripada cengkaman kulit putih, Mugabe kemudian bertukar menjadi diktator yang cukup digeruni.

Jumaat lalu, Presiden Emmerson Mnangagwa mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh negara tanpa memberi maklumat lanjut.

Kerajaan dijangka akan mengumumkan ketibaan mayat Mugabe dan perincian mengenai upacara pengebumian tidak lama lagi. - AFP

880 dibaca
Berita Harian X