Isnin, 9 September 2019 | 10:00am
KABINET dianggotai 18 ahli diketuai Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan turut dibarisi empat wanita itu mengangkat sumpah di istana presiden di Khartoum. - Foto AFP

Kabinet baharu Sudan angkat sumpah

KHARTOUM : Kabinet pertama selepas penyingkiran Presiden Omar Al Bashir mengangkat sumpah semalam selepas peralihan kuasa kepada orang awam susulan bantahan besar-besaran seluruh negara.

Kabinet dianggotai 18 ahli diketuai Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan turut dibarisi empat wanita itu mengangkat sumpah di istana presiden di Khartoum.

Ia dijangka menangani hal ehwal dalaman negara sepanjang tempoh peralihan selama 39 bulan.

Barisan kabinet berkenaan dibentuk selepas Sudan bulan lalu berikrar dalam ‘majlis kedaulatan’, satu badan pemerintah yang turut dianggotai pasukan tentera dan orang awam, bertujuan memantau proses peralihan itu.

Kesemua 18 menteri baharu berkenaan dilihat disambut semua anggota majlis termasuk ketuanya, Jeneral Abdel Fattah Al Burhan dalam acara yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Majlis itu sendiri adalah hasil daripada perjanjian perkongsian kuasa antara penunjuk perasaan dan barisan jeneral yang merampas kuasa selepas penggulingan Omar April lalu.

Kabinet Abdalla yang turut melantik Menteri Luar wanita pertama dijangka mengetuai Sudan menempuh perubahan besar, mencakupi pengakhiran kepada konflik dalaman di tiga rantau.

Kumpulan pemberontak dari kawasan Darfur, Nil Biru dan Selatan Kordofan sekian lama melancarkan perang terhadap pasukan Omar.

Perkongsian kuasa Sudan berkenaan bertujuan mewujudkan keamanan bersama pasukan bersenjata.

Kabinet Abdalla juga dijangka mengambil pendekatan memerangi rasuah dan membubarkan konsep negara Islam yang diasaskan Omar selama ini. - AFP

214 dibaca
Berita Harian X