Sabtu, 26 Oktober 2019 | 8:03pm
Jawar Mohammed (tengah), anggota etnik Oromo yang secara terbuka mengkritik kepimpinan Abiy, berucap di hadapan penyokong yang berkumpul di luar rumahnya di ibu kota Habsyah, Addis Ababa. -Foto AFP

67 terbunuh dalam keganasan etnik di Habsyah

ADDIS ABABA: Keganasan di Habsyah yang bermula dengan bantahan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Abiy Ahmed segera bertukar kepada pertembungan etnik yang kini meragut 67 nyawa di Oromia, kata seorang pegawai polis semalam.

Pertambahan angka maut berlaku ketika seorang aktivis profil tinggi di tengah keganasan menuduh Abiy, yang juga pemenang Anugerah Nobel tahun ini, bertindak seperti diktator dan mungkin mencabar beliau dalam pilihan raya tahun depan.

“Jumlah maut di Oromia kini 67 orang,” kata ketua polis serantau, Kefyalew Tefera, menambah lima daripadanya adalah pegawai polis.

Keganasan meletus di ibu kota Habsyah di sini dan majoriti rantau Oromia Rabu lalu selepas aktivis terbabit, Jawar Mohammed, menuduh pasukan keselamatan cuba melancarkan serangan ke atasnya, dakwaan dinafikan pihak polis.

Kefyalew memberitahu, keganasan sudah tamat di Oromia, namun penyelidik Amnesty International, Fisseha Tekle berkata lewat semalam, beliau masih menerima laporan serangan.

Kementerian Pertahanan berkata, ia menghantar pasukan ke tujuh kawasan panas bagi memulihkan ketenteraman, menurut penyiar kerajaan, Fana Broadcasting Corporate.

Jawar mendapat pujian kerana membawa Abiy berkuasa tahun lalu namun beliau kini banyak mengkritik sesetengah dasar perdana menteri itu.

Dalam temu ramah di kediamannya di sini, Jawar memberitahu AFP, Abiy, dilihat membawa Habsyah kembali kepada ‘cara lama’ pemerintahan kuku besi.

“Beliau beralih kepada tanda awal kepimpinan diktator, cuba menakut-nakutkan orang walaupun sekutu amat rapat yang membantunya berkuasa yang tidak bersetuju dengan sesetengah dasar dan kedudukan serta ideologi yang disokongnya.

“Menakut-nakutkan adalah permulaan kepada pemerintahan kuku besi,” kata Jawar yang mana kedua-duanya berasal dari kumpulan etnik Oromo, terbesar di Habsyah.

Perseteruan itu mengetengahkan perpecahan terhadap sokongan penting Oromo terhadap Abiy yang mungkin merumitkan cubaannya untuk dipilih semula dalam pilihan raya dijadualkan Mei 2020.

Jawar berkata, mencabar Abiy adalah ‘satu kemungkinan’ walaupun berkata, beliau mungkin mengubah fikiran jika perdana menteri itu bertukar haluannya. -AFP

Berita Harian X