Rabu, 30 Oktober 2019 | 11:49am

30 maut tanah runtuh landa barat Cameroon

YAOUNDE (CAMEROON) : Lebih daripada 30 orang maut apabila rumah mereka dilanda insiden tanah runtuh akibat hujan lebat di Bafoussam, barat Cameroon.

Media tempatan melaporkan, pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus mengesan mangsa yang masih hidup di celah-celah sisa runtuhan.

“Kerja mencari sedang dilakukan. Kami bimbang jumlah kematian akan terus meningkat,” kata seorang pegawai kanan yang enggan dikenali.

Akhbar harian negara, Tribune pula melaporkan, sekurang-kurangnya 33 mayat sudah ditemui.

Radio Televisyen Cameroon (CRTV) sebelum itu menyebut, jumlah kematian adalah sekitar 30 orang selepas sejumlah besar rumah musnah.

Kenyataan kerajaan disiarkan CRTV turut menyebut mengenai nahas itu tanpa memberikan jumlah sebenar kematian.

“Kesemua rumah yang runtuh itu dibina di bahagian bukit di zon berisiki,” kata pegawai West Region, kira-kira 300 kilometer di barat laut Yaounde,

Katanya, tanah runtuh berkenaan diakibatkan oleh hujan lebat yang melanda seluruh negara sejak beberapa hari lalu, termasuk di negara jiran, Republik Afrika Tengah dan Nigeria.

Foto tragedi Bafouassam yang tular di media memaparkan runtuhan rumah manakala sekumpulan lelaki berusaha keras menggali timbunan lumpur untuk mencari mangsa terselamat. - AFP

Berita Harian X