Sabtu, 2 November 2019 | 4:00pm
Tarania Clarke, 20 pemain tengah untuk kelab Waterhouse maut ditikam dalam pergaduhan bersama seorang wanita lain di Half Way Tree.

Pemain bola sepak wanita Jamaica maut ditikam

ST ANDREW (JAMAICA) : Seorang pemain bola sepak wanita kebangsaan Jamaica maut ditikam dalam satu pergaduhan berkaitan telefon bimbit, kata polis.

Tarania Clarke, 20 pemain tengah untuk kelab Waterhouse ditikam dalam pergaduhan bersama seorang wanita lain di Half Way Tree, di sini.

Pembunuhan Clarke atau lebih dikenali sebagai Plum Plum berlaku pada jam 8.50 malam, Khamis lalu.

Clarke dibawa ke hospital namun meninggal dunia ketika sedang dirawat.

Susulan kejadian, polis menahan seorang wanita berusia lingkungan 20an.

Mendiang yang berusia 20 tahun adalah kapten untuk Waterhouse FC dalam Liga Premier Wanita dan mewakili Jamaica untuk sesi kelayakan Olimpik bagi negara Caribbean, Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan, Persekutuan Bola sepak Jamaica (JFF) berkata, pemergian Tarania adalah satu kejutan yang amat menyedihkan.

“Seluruh keluarga besar JFF menzahirkan ucapan takziah kepada Waterhouse FC, keluarga, rakan-rakan dan pemain di kelab diwakili mendiang.

“JFF akan terus membantu dan menyokong ibu beliau serta rakan-rakan dalam melalui saat sukar ini,” kata badan itu dalam satu kenyataan.

Mendiang digambarkan sebagai individu yang mudah mesra dan pendiam oleh jurulatih dan pengurus pasukan.

JFF menambah, Clarke merancang untuk menyambung pengajian di luar negara pada tahun depan. - Agensi

Berita Harian X