Sabtu, 2 November 2019 | 4:51pm

54 maut serangan militan di Mali

BAMAKO (MALI): Sekurang-kurangnya 53 anggota tentera dan seorang awam terbunuh dalam serangan militan di pos tentera, utara Mali semalam, kata sumber kerajaan.

Serangan berkenaan adalah antara yang terburuk dalam sejarah ke atas tentera negara Afrika Barat itu.

Mali masih sedang dalam proses pemulihan selepas serbuan militan Islam September lalu.

“Pasukan bantuan yang digerakkan ke lokasi kejadian menemui 54 mayat termasuk seorang awam, 10 mangsa terselamat dan beberapa kerosakan material.

“Keadaan adalah terkawal,” kata jurucakap kerajaan, Yaya Sangare menerusi Twitter, awal pagi semalam.

Pihak berkuasa kali pertama melaporkan serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjata ke atas pos tentera di Indelimane, dalam kawasan Menaka, semalam namun memberikan jumlah kematian yang rendah.

Seramai 38 anggota tentera Mali terbunuh pada 30 September dalam serangan terancang, membabitkan dua pangkalan tentera di tengah Mali, yang terlepas dari penguasaan kerajaan walaupun terdapat kehadiran pasukan tentera Perancis dan beberapa negara luar lain. - Reuters

Berita Harian X