Isnin, 6 Januari 2020 | 7:38am
GAMBAR militan al Shabaab mengibar bendera di sebelah pesawat yang sedang terbakar di Manda Bay Airfield. - Foto Reuters
GAMBAR militan al Shabaab mengibar bendera di sebelah pesawat yang sedang terbakar di Manda Bay Airfield. - Foto Reuters

3 warga AS terbunuh dalam serangan militan di Kenya

NAIROBI/WASHINGTON: Serangan militan al Shabaab dari Somalia terhadap markas tentera kegunaan pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS) dan Kenya mengakibatkan tiga warga AS terbunuh.

Pihak berkuasa tentera Afrika mengesahkan mereka yang terbunuh dalam serangan awal pagi semalam itu termasuk seorang anggota tentera dan dua kontraktor manakala dua lagi warga AS yang bekerja dengan Jabatan Pertahanan negara itu cedera.

“Mangsa yang cedera dalam serangan di Manda Bay Airfield, Lamu berhampiran sempadan Somalia itu kini dalam keadaan stabil dan sedang dibawa keluar,” kata Africa Command (AFRICOM) dalam satu kenyataan.

Serangan itu menjadi satu lagi krisis bagi Washington ketika Pentagon masih lagi berusaha meredakan ketegangan berikutan serangan dron Jumaat lalu yang mengorbankan pemimpin tentera utama Iran, Qassem Soleimani.

Tehran dan Washington kini berbalas ugutan berikutan serangan itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mungkin berlaku konflik antara kedua-dua negara terbabit.

Serangan oleh al Shabaab, yang sudah berjuang sejak sedekad lalu bagi menumbangkan kerajaan Somalia dan memperkenalkan undang-undang Islam yang ketat, bermula sebelum subuh dan berlangsung selama empat jam.

Berdasarkan laporan polis di Kenya yang diperoleh Reuters, kumpulan militan terbabit dikatakan berjaya memusnahkan dua kapal terbang, dua helikopter milik AS dan beberapa kenderaan tentera AS.

Pasukan tentera Kenya berkata lima militan terbunuh dalam serangan itu manakala setakat ini, tiada kematian dilaporkan di pihak tentera.

Dalam satu kenyataan semalam, al Shabaab mendakwa berjaya memusnahkan tujuh pesawat dan tiga kenderaan tentera serta turut menyiarkan gambar sekumpulan militan bertopeng berdiri di sebelah pesawat yang sedang terbakar.

AFRICOM berkata kira-kira 150 anggota tentera AS berada di markas itu bagi melatih dan memberi sokongan anti pengganas kepada pasukan tentera Afrika Timur.

Jeneral tentera AS, Stephen Townsend, yang menerajui AFRICOM, berkata pihaknya bersama rakan antarabangsa akan memburu mereka yang melancarkan serangan itu.

Jurucakap tentera Kenya, kolonel Paul Njuguna, berkata markas itu kini sudah disahkan selamat.

“Serangan bermula kira-kira jam 5:30 pagi bagi menceroboh Landasan Udara Manda tetapi berjaya dipatahkan.

“Semua kebakaran berjaya dikawal dan lima militan terbunuh selain empat senjata jenis AK47 berjaya dirampas,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini belum diketahui bagaimana militan terbabit berjaya menceroboh markas itu.

Kenya menghantar tenteranya ke Somalia pada 2011 selepas berlakunya beberapa serangan dan penculikan merentas sempadan.

Pasukan tentera terbabit kemudian diserap memasuki pasukan pengaman Kesatuan Afrika, yang kini mempunyai kekuatan 21,000 anggota dan menyokong Kerajaan Somalia. - Reuters

Berita Harian X