Selasa, 7 April 2020 | 2:45pm
RUMAH rosak teruk dibadai taufan dahsyat di Vanuatu yang mengorbankan 27 nyawa. - Foto AFP
RUMAH rosak teruk dibadai taufan dahsyat di Vanuatu yang mengorbankan 27 nyawa. - Foto AFP

Taufan terburuk musnahkan Vanuatu

VANUATU: Taufan terburuk memusnahkan bandar kedua terbesar di Vanuatu, bagaimanapun amaran awal dikeluarkan mampu mengelakkan malapetaka lebih besar di negara kepulauan Pasifik itu.

Menurut petugas bantuan dalam satu kenyataannya hari ini, kebanyakan penduduk terpaksa berteduh di dalam gua untuk menyelamatkan diri.

Taufan tropika Harold yang mengorbankan 27 nyawa membadai kepulauan Solomon minggu lalu, di wilayah utara Vanuatu dalam tempoh semalaman.

Ribut dahsyat itu dikategorikan dalam skala lima.

Bandar di Luganville dengan populasi penduduk 16,500 orang antara yang terjejas teruk apabila angin kencang dengan kelajuan 235 kilometer sejam yang memusnahkan bangunan dan turut mengakibatkan berlakunya banjir kilat.

Sementara itu, Pengarah World Vision, Kendra Gates, iaitu pertubuhan bukan kerajaan yang banyak melakukan projek kebajikan di negara itu, berkata kejadian itu mengakibatkan kemusnahan sebagaimana taufan yang berlaku di negara itu pada 2015.

“Saya berkesempatan menghubungi pengurus kebajikan tempatan menerusi telefon satelit dan katanya, dianggarkan 50 peratus daripada kediaman musnah, manakala atap di pejabat World Vision turut hilang.

“Setakat ini, tiada laporan kematian atau kecederaan parah membabitkan insiden berkenaan,” katanya. - AFP

Berita Harian X