X
Sabtu, 30 Mei 2020 | 10:23pm

Penduduk kampung lawan penyamun, 13 maut

KANO: Pertempuran antara penduduk kampung dengan pencuri lembu di Katsina, Nigeria mengakibatkan 13 maut dan keganasan dilaporkan semakin memuncak.

Jurucakap polis Katsina, Gambo Isah, berkata penduduk dari empat buah kampung yang menubuhkan pasukan tentera tempatan, bertindak melawan pencuri haiwan ternakan itu.

"Kami sudah mengingatkan penduduk kampung yang hanya bersenjatakan senapang dan parang supaya elak bertempur dengan pencuri lembu yang menggunakan senapang jenis Kalashnikov, " katanya.

Barat Laut Nigeria bergolak sejak bertahun lamanya akibat persaingan tuntutan tanah dalam kalangan masyarakat, serangan kumpulan penjenayah bersenjata berat dan pembunuhan balas dendam oleh kumpulan pengawal.

Kes membabitkan pencurian lembu dan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan berleluasa seolah-olah tiada kawalan keselamatan.

Pihak tentera melakukan serangan udara di beberapa kem di Katsina, iaitu bandar asal Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, dengan kawasan berdekatan, Zamfara, dalam usaha menghentikan serangan berkenaan.

Kira-kira 100 penduduk terbunuh minggu ini di Sokoto, utara Nigeria dan minggu lalu, kumpulan Krisis Antarabangsa memberi amaran bahawa kumpulan jihad yang memberontak sejak sedekad lalu kini semakin berpengaruh di barat laut negara itu.

Kumpulan penyelidik yang berpusat di Brussels itu berkata wilayah terbabit berisiko menjadi 'jambatan darat' bagi pejuang Islam di seluruh Sahel. - AFP

Berita Harian X