Khamis, 27 Julai 2017 | 10:21am
BRAD Pitt dan Angelina Jolie.

Jolie akui perpisahan dengan Pitt detik paling sukar

NEW YORK: Angelina Jolie, 42, mendedahkan bahawa perceraiannya dengan aktor Brad Pitt, 53, adalah 'perkara paling sukar dalam hidup' dan menyebabkannya terpaksa menghabiskan masa berbulan-bulan sebagai suri rumah.

Aktres itu berkata, tempoh itu juga digunakan untuk 'meningkatkan kemahiran' memasak, selain kerja rumah lain seperti membasuh pinggan mangkuk dan membersihkan kotoran anjing peliharaannya.

Jolie mengemukakan permohonan untuk bercerai dengan Pitt pada September lalu atas alasan tiada persefahaman.

Beliau juga mendakwa bekas pemenang Anugerah Oscar itu memukul anak lelaki mereka ketika dalam pesawat dari Perancis ke Los Angeles, hingga mendorong Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menjalankan siasatan.

Namun, FBI dan pekerja sosial membebaskan Pitt daripada tuduhan itu.

Berikutan itu, Pitt menuntut hak penjagaan bersama enam anak mereka, iaitu Maddox, 15; Pax, 13; Zahara, 12; Shiloh, 11, dan pasangan kembar Vivienne dan Knox, 9, manakala Jolie memohon hak penjagaan penuh.

Sementara itu, ketika memberitahu majalah Vanity Fair, Jolie berkata, keadaan bertukar lebih buruk pada musim panas tahun lalu.

"Keadaan menjadi semakin sukar dan kami memerlukan ruang untuk 'bernafas'," katanya kepada Vanity Fair dalam satu temubual sebaik berpindah ke kediaman bernilai AS$25 juta (RM106.86 juta) yang memiliki enam bilik tidur dan 10 bilik mandi bersama enam anaknya di kawasan kejiranan Los Feliz di Los Angeles.

"Saya hanya mahu memasak hidangan sarapan yang baik dan menjaga rumah. Itu adalah keutamaan saya.

"Malah, atas permintaan anak-anak, saya mengikuti kelas masakan.

"Saya berusaha selama sembilan bulan untuk melakukan yang terbaik sebagai suri rumah, membersihkan kotoran anjing, pinggan mangkuk dan membaca buku cerita kepada anak-anak.

"Saya menjadi bertambah baik ketika melakukan semua perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, Jolie yang menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudara, selain ovari pada 2013 untuk mencegah kanser yang menjadi punca kematian ibu, nenek dan ibu saudaranya, berkata beliau turut dikesan menghidap palsi bell (bell palsy).

Palsi bell ialah satu keadaan kelumpuhan saraf muka yang mengakibatkan kelemahan otot pada satu sisi muka, disertai dengan kegagalan menutup mata pada sebelah muka itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau disahkan sembuh daripada palsi bell hasil rawatan akupuntur. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X