Selasa, 1 Ogos 2017 | 1:05pm

Penyakit gusi ada kaitan dengan risiko barah wanita

MIAMI: Wanita yang mempunyai sejarah penyakit gusi berdepan risiko tinggi mengalami beberapa jenis barah, terutama tumor dalam esofagus dan payudara.

"Sejarah penyakit gusi dikaitkan dengan 14 peratus risiko menghidap sebarang jenis barah.

"Kaitan paling kuat adalah barah esofagus, berisiko tiga kali lebih tinggi untuk dialami wanita yang ada sejarah penyakit gusi berbanding mereka yang tidak mengalaminya," kata kajian yang disiarkan dalam jurnal terbitan Persatuan Penyelidikan Barah Amerika, Cancer Epidemiology, Biomarkers and Prevention.

Penyelidik juga mendapati 'risiko lebih tinggi' menghidap barah paru-paru, pundi hempedu, melanoma dan payudara.

Kajian dari 1999 hingga 2013, dan membabitkan lebih 65,000 wanita menopaus yang menjawab soal selidik mengenai kesihatan mereka.

Wanita berkenaan, berusia 54 hingga 86 tahun, diawasi secara purata lapan tahun.

Kajian itu adalah yang pertama memberi tumpuan kepada kaitan penyakit gusi dengan semua jenis barah, dalam dalam semua populasi wanita, kata Dekan Sekolah Kesihatan Awam di Universiti New York di Buffalo, Jean Wactawski-Wende. - AFP

77 dibaca
Berita Harian X