Khamis, 7 September 2017 | 4:12pm
KEADAAN banjir selepas dilanda taufan Irma di Gustavia dekat pulau Saint Barthelemy di bawah jajahan Caribbean. - Foto AFP

Irma ragut lapan nyawa

SAN JUAN: Sekurang-kurangnya lapan penduduk dari empat pulau dilaporkan terbunuh selepas kawasan kediaman mereka dilanda Taufan Irma.

Mereka yang maut adalah seorang penduduk Barbuda, seorang peluncur ombak di Barbados serta enam penduduk di pulau Saint Martin dan Saint Barthelemy di bawah jajahan Caribbean.

Ahli kaji cuaca menggambarkan taufan itu berpotensi untuk mencetuskan kemusnahan lebih besar dan meletakkan ia pada Kategori 5, iaitu klasifikasi tertinggi taufan di Amerika Syarikat (AS).

Bencana itu turut mengakibatkan sebahagian besar kawasan kediaman dan perniagaan di Puerto Rico bergelap selepas bekalan elektrik terputus sejak awal pagi tadi.

Perdana Menteri Antigua dan Barbuda, Gaston Browne, berkata, antara kawasan paling teruk terjejas ialah negara dua pulau, Antigua dan Barbuda dengan hampir semua kediaman untuk 1,800 penduduk musnah sepenuhnya.

"Seorang penduduk Barbuda dan seorang peluncur ombak di Barbados maut akibat ribut ini," katanya.

Kerajaan Perancis pula mengumumkan, sekurang-kurangnya enam kematian dilaporkan di pulau Saint Martin dan Saint Barthelemy di bawah jajahan Caribbean.

Sementara itu, Penyelia Guadeloupe, Eric Maire, yakin jumlah kematian akan terus meningkat kerana masih banyak kawasan belum memberikan sebarang perkembangan terkini. - REUTERS

Berita Harian X