Sabtu, 9 September 2017 | 10:36pm
KEADAAN selepas dilanda Taufan Irma. - Foto AFP

Selepas Irma, Caribbean bakal dibadai Taufan Jose

MARIGOT: Kebimbangan dan keletihan selepas dilanda Taufan Irma, penduduk yang ketakutan hari ini menanti satu lagi ribut besar tidak pernah berlaku di kepulauan Caribbean yang sudah pun musnah.

"Kembali ke pusat perlindungan sebelum taufan tiba, dan elak kawasan yang boleh dinaiki banjir," kata polis di St Martin, wilayah milik Perancis, tiga hari selepas dibadai Irma.

Jose, ribut Kategori Empat, membawa hujan lebat dan angin sekuat 130 hingga 150 kilometer sejam, kata pakar kaji cuaca.

Namun ia juga mungkin memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk pulau dan bertukar arah kira-kira 100 kilometer ke utara St Martin dan St Barts apabila ia melanda lewat hari ini.

Irma menyebabkan 12 maut dan ratusan lagi cedera di seluruh pulau itu, dan dengan usaha pembersihan bermula, pihak berkuasa bergelut untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk.

Di seluruh pulau itu, destinasi pelancongan popular, kelihatan bumbung dan tingkap diterbangkan, kereta dan bot terbalik dan pokok kelapa sawit tumbang dibadai Irma ketika ia tiba di kepulauan itu Rabu lalu.

Ia adalah 'ilusi' bahawa penduduk boleh bersiap sedia menunggu kedatangan Jose, kata komander Tentera Laut Belanda, Peter Jan de Vin.

"Semua yang berselerak dan boleh diterbangkan oleh angin adalah sesuatu yang boleh mencederakan atau membunuh," katanya kepada akhbar NRC, menggesa penduduk mencari perlindungan. - AFP

Berita Harian X