Selasa, 26 September 2017 | 7:47am
Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha berucap di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di Washington, DC. - Foto AFP

Seoul gesa AS bantu redakan ketegangan dengan Pyongyang

WASHINGTON: Korea Selatan menggesa Amerika Syarikat (AS) membantu meredakan ketegangan dengan Korea Utara selepas Pyongyang menuduh Presiden Donald Trump mengisytiharkan perang.

Menteri Luar, Kang Kyung-wha, berkata dalam ucapan di sini, tidak mustahil Korea Utara akan membuat provokasi lanjut susulan kenyataan Presiden AS itu.

"Adalah penting bahawa kita, Korea Selatan dan AS bersama, menguruskan situasi bagi mencegah peningkatan ketegangan atau sebarang pertembungan tidak sengaja tentera yang boleh bertukar di luar kawalan," katanya.

Semalam Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong-ho menuduh Trump mengisytiharkan perang ke atas negaranya dan berkata, Pyongyang bersedia mempertahankan diri dengan menembak jet pejuang AS.

Rumah Putih menolak tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai 'tidak masuk akal.'

Yong-ho yang hadir dalam sesi ke-72 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun ini berkata, masyarakat antarabangsa berharap satu 'perang mulut' tidak 'akan bertukar kepada tindakan sebenar.'

"..hujung minggu lalu Trump mendakwa kepimpinan kami tidak akan bertahan lebih lama. Beliau mengisytiharkan perang ke atas negara kami," katanya.

- AFP

Berita Harian X