Selasa, 24 Oktober 2017 | 8:28am
PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau melantik wakil khas ke Myanmar. - Foto REUTERS

Wakil khas tangani isu Rohingya

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau melantik wakil khas ke Myanmar semalam, ditugaskan memberi tekanan kepada kepimpinan negara itu menyelesaikan krisis pelarian Rohingya.

Trudeau dalam satu kenyataan mengumumkan, Kanada akan menggandakan sumbangan bantuan kemanusiaannya untuk pelarian tahun ini, iaitu Can$25 juta (RM83.77 juta).

"Bekas ahli parlimen (MP) kanan, Bob Rae ditugaskan menguruskan keperluan segera kemanusiaan dan krisis keselamatan di Myanmar serta menangani situasi dihadapi penduduk terdedah termasuk masyarakat Islam Rohingya," kenyataan dikeluarkan dalam persidangan sumbangan antarabangsa dibuka di Geneva.

Rae, yang memegang jawatan pemimpin Parti Liberal Kanada sebelum Trudeau, juga akan menasihatkan beliau bagaimana cara terbaik 'memberi sokongan terhadap pelarian terjejas dan kehilangan tempat tinggal akibat keganasan terbaharu.'

Trudeau berkata, beliau 'amat bimbang terhadap krisis keselamatan dan bantuan kemanusiaan terdesak di Rakhine, Myanmar, terutama penganiayaan dahsyat ke atas etnik Muslim Rohingya.'

Dalam satu sidang media, Menteri Hal Ehwal Luar Chrystia Freeland menggesa serangan meluas ke atas Rohingya dihentikan segera. -AFP

Berita Harian X