Rabu, 1 November 2017 | 7:07am
LAPAN maut manakala ramai lagi cedera selepas sebuah trak merempuh pejalan kaki di Lower Manhanttan. - Foto EPA
LAPAN maut manakala ramai lagi cedera selepas sebuah trak merempuh pejalan kaki di Lower Manhanttan. - Foto EPA
LAPAN maut manakala ramai lagi cedera selepas sebuah trak merempuh pejalan kaki di Lower Manhanttan. - Foto EPA

8 maut, trak rempuh laluan pejalan kaki

NEW YORK: Lapan maut manakala ramai lagi cedera selepas sebuah trak merempuh pejalan kaki di Lower Manhanttan petang tadi, waktu tempatan.

Kenderaan itu kemudian bertembung dengan bas sekolah dalam tindakan dianggap pihak berkuasa serangan pengganas.

Selepas serangan, suspek dilihat keluar dari kenderaan yang disewa itu sambil memegang dua senapang palsu sebelum ditembak polis dan ditahan.

Kejadian berlaku pada jam 3.05 petang berhampiran sebuah sekolah ketika murid di bandar terbesar Amerika Syarikat (AS) itu meraikan Halloween.

Ia adalah kejadian pertama dikaitkan keganasan di ibu kota dengan 8.5 juta penduduk itu sejak insiden 11 September 2001.


LAPAN maut manakala ramai lagi cedera selepas sebuah trak merempuh pejalan kaki di Lower Manhanttan. - Foto EPA

Ia juga yang pertama sejak letupan bom paip pada September 2016 di Chelsea yang mencederakan 31 orang.

Presiden Donald Trump yang mengulas kejadian terbabit menyifatkan penyerang berusia 29 tahun yang mana nama dan kerakyatannya tidak didedahkan, sebagai 'sakit' dan 'tidak siuman'.

Ketua Polis New York, James O'Neill, berkata lapan orang disahkan terbunuh manakala 11 lagi mangsa yang parah dirawat di hospital.

Menurut O'Neill, suspek memandu trak disewa dari syarikat pemborong Home Depot menuju ke selatan dan merempuh laluan basikal dan pejalan kaki sebelum bertembung dengan bas sekolah, menyebabkan empat cedera, dua daripadanya kanak-kanak.

Suspek kemudian keluar dari kenderaan itu dengan memegang dua senapang palsu sebelum ditembak di perut oleh polis.

Polis berkata, senapang 'paintball' dan senapang angin ditemui di tempat kejadian.

"Ia hari amat memilukan di bandar kita. Berdasarkan maklumat, ini adalah tindakan keganasan yang menyasar orang awam.

"Setakat ini lapan maut dan lebih 12 orang cedera," kata Datuk Bandar New York, Bill de Blasio. - AFP

Berita Harian X