Rabu, 1 November 2017 | 1:14pm
SAYFULLO Saipoz. - Foto AFP

Identiti pemandu trak dikenal pasti

NEW YORK: Suspek serangan pengganas membabitkan trak di Lower Manhattan dikenal pasti sebagai Sayfullo Saipoz, 29, rakyat Uzbekistan yang menetap di Paterson, New Jersey.

Identiti lelaki terbabit disahkan beberapa rangkaian televisyen tempatan manakala semakan di Whitepages mendapati suspek, juga pemandu Uber, pernah menetap di Tampa sejak Jun 2011 dan turut memiliki alamat lain berdaftar di Ohio.

Media Amerika Syarikat (AS) termasuk CNN melaporkan, suspek melaungkan kalimah 'Allahuakbar' manakala Ketua Polis New York, James O'Neill, mengesahkan perkara itu.

Kejadian jam 3.05 petang waktu tempatan itu berlaku beberapa blok dari Memorial 9/11 di West Side, Lower Manhattan.

Ia berlaku berhampiran sekolah dipenuhi ibu bapa dan pelajar yang bersiap meraikan Halloween.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Argentina menerusi satu kenyataan berkata, lima rakyatnya disahkan maut dalam insiden itu.

Menurut kenyataan, semua mangsa berada di ibu kota ini untuk menghadiri majlis perjumpaan semula sekolah.

"Semua mangsa berasal dari Rosario dikenali sebagai Hernan Diego Mendoza, Diego Enrique Angelini, Alejandro Damian Pagnucco, Ariel Erlij dan Hernan Ferruchi," kata kenyataan itu.

Seorang lagi rakyat Argentina yang terbabit dalam serangan ialah Martin Ludovico Marro, kini dirawat di Hospital Presbyterian, Manhattan.

Kecederaannya dilaporkan tidak membimbangkan. - AFP

Berita Harian X