Jumaat, 3 November 2017 | 12:28pm

Serangan di Manhattan, Daesh mengaku bertanggungjawab


SEORANG penyiasat berjalan melepasi trak pikap yang remuk berikutan insiden di New York. - Foto AFP

WASHINGTON: Militan Daesh mengakui penyerang yang membunuh lapan orang dalam kejadian rempuhan trak di laluan berbasikal di Manhattan, New York, adalah anggota kumpulan itu.

"Seorang anggota Daesh menyerang sejumlah 'tentera Salib' di sini," lapor satu artikel dalam edisi akhbar minggu kumpulan itu, al-Naba kata Kumpulan Risikan SITE.

Sayfullo Saipov, 29, adalah pendatang dari Uzbekistan. Dia didakwa atas beberapa kesalahan keganasan selepas dituduh memandu trak pikap yang disewa untuk merempuh laluan basikal sejauh 1.6 kilometer di Manhattan.


SAYFULLO Saipov. - Foto AFP

Beberapa dokumen tuduhan menyebut, dia mengaku bertindak atas nama Daesh dan 'merasa bagus dengan apa yang dilakukan' sehingga meminta bendera Daesh digantung dalam bilik hospitalnya.

Polis berkata, dia didapati menuruti 'arahan jelas' yang dimuat naik Daesh di media sosial kepada pengikutnya. Dia turut didakwa memiliki tiga pisau, ribuan gambar propaganda Daesh serta beberapa video memaparkan militan Daesh membunuh tahanan. - AFP

Berita Harian X