Rabu, 24 Januari 2018 | 10:26am
PIHAK berkuasa ketika berada di kawasan kejadian tembakan di sebuah sekolah menengah di Kentucky. - Foto REUTES
PIHAK berkuasa ketika berada di kawasan kejadian tembakan di sebuah sekolah menengah di Kentucky. - Foto REUTES

2 pelajar mati ditembak

WASHINGTON: Seorang lagi pelajar meninggal dunia menjadikan dua mangsa terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah menengah di Kentucky, semalam.

Remaja 15 tahun yang tidak didedahkan identitinya melepaskan beberapa tembakan menyebabkan dua pelajar terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam kejadian tembakan terbaharu di Amerika Syarikat (AS).

Kejadian itu dikatakan berlaku di Sekolah Menengah di Benton dalam daerah Marshall, barat Kentucky.

Gabenor Kentucky, Matt Bevin, berkata dua pelajar sebaya meninggal dunia selepas ditembak manakala 12 lagi cedera dengan lima daripada mereka mengalami beberapa kecederaan lain.

Bevin berkata, penyerang ditahan tanpa menggunakan kekerasan dan akan didakwa dengan tuduhan membunuh dan beberapa percubaan membunuh.

Pesuruhjaya Polis Kentucky, Rick Sanders berkata, salah seorang pelajar terbunuh di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal di hospital.

"Lima lagi mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal," katanya.

Sanders berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 7.57 pagi waktu tempatan apabila seorang remaja berusia 15 tahun bersenjatakan pistol memasuki perkarangan sekolah lalu melepaskan tembakan.

"Suspek kini sedang ditahan di pejabat pegawai sherif yang lebih awal tiba di tempat kejadian," kata Sanders. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X