Jumaat, 2 Februari 2018 | 5:01pm
RIHANNA

Rihanna desak tingkat dana pendidikan dunia

NEW YORK : Rihanna semalam menggunakan kuasa popularitinya mendesak kerajaan utama untuk terus komited memastikan pendidikan bagi golongan miskin di dunia, ketika mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa di Senegal.

Penyanyi tersohor itu tiba di ibu kota Dakar dan hari ini dijadual menyertai rundingan Perkongsian Global untuk Pendidikan yang dihoskan oleh Presiden Senegal Macky Sall dan pemimpin Perancis, Emmanuel Macron.

Personaliti keempat tertinggi di Twitter dengan 86 juta pengikut, menggunakan media sosial untuk menggesa Macron, Perdana Menteri Britain Theresa May dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull untuk menetapkan satu tahap pembiayaan tertentu.

Dalam tweet kepada Macron, Rihanna yang bertemu dengannya di Paris Julai lalu menggesa pemimpin itu terus komited menyalurkan AS$ 313 juta (RM1.2 bilion) terhadap usaha itu.

Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sejumlah 264 juta kanak-kanak dan remaja yang sepatutnya bersekolah masih hidup tanpa pendidikan kerana kemiskinan, konflik dan halangan sosial termasuk berat sebelah terhadap wanita.

Persidangan Dakar, yang menyatukan kerajaan dan sektor swasta, bertujuan mengumpulkan AS$ 3.1 bilion (RM12 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menyokong pendidikan bagi 870 juta kanak-kanak.

Duta bagi Perkongsian Global untuk Pendidikan itu akan bertemu di Dakar bersama pegawai kerajaan serta pendidik dan pelajar, kata wakilnya.

Penyanyi kelahiran Barbados yang popular dengan lagu 'Diamonds' dan 'Only Girl (In the World) itu menubuhkan Yayasan Clara Lionel, yang mengumpul dana termasuk biasiswa untuk belajar di universiti Amerika Syarikat. - AFP

23 dibaca
Berita Harian X