Khamis, 22 Februari 2018 | 9:59am
Presiden Donald Trump berjabat tangan dengan pelajar Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas, Ariana Klein (kanan) ditemani rakannya, Carson Abt pada sesi pendengaran mengenai keganasan senjata api antara guru dan pelajar di Rumah Putih, semalam. - Foto AFP

Trump mahu guru sekolah dibenar miliki senjata

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bercadang untuk membekalkan senjata kepada guru bagi menangani kejadian tembakan rambang di sekolah.

Trump berkata demikian pada pertemuan dengan mangsa yang terselamat dalam kejadian tembakan yang mengorbankan 17 mangsa di sebuah sekolah tinggi di Florida.

Pada masa sama, beliau berjanji untuk memperketatkan pemeriksaan latar belakang pemilik senjata, selepas berkongsi kesedihan yang ditanggung keluarga mangsa dan pelajar yang berjaya melarikan diri dalam insiden itu.

"Sekiranya anda mempunyai seorang guru yang mahir dalam mengendalikan senjata api, mereka mampu menamatkan serangan dengan segera.

"Namun, ia hanya untuk mereka yang benar-benar mahir mengendalikan senjata," kata Trump yang mencadangkan kira-kira 20 peratus daripada guru sekolah dilatih untuk membawa senjata yang disembunyikan.

Pertemuan di Rumah Putih yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen itu diadakan susulan bantahan jalanan di seluruh negara.

Peserta bantahan mendesak undang-undang pemilikan senjata lebih ketat dilaksanakan susulan kematian 14 pelajar dan tiga guru Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland, Florida, baru-baru ini. - AFP

Berita Harian X