Jumaat, 2 March 2018 | 7:34am
Ahli kongres Demokratik, Mike Thompson.

AS mula timbang langkah kawal senjata

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menggesa Demokrat dan Republikan menimbang langkah berkesan ke arah penguatkuasaan undang-undang senjata api di sidang kemuncak Rumah Putih, dua minggu selepas 17 orang terbunuh dalam kejadian tembakan rambang di Florida.

"Kami bertekad untuk mengubah kesedihan rakyat AS dengan mengambil tindakan," kata Trump kepada Demokrat dan Republikan.

Trump antara lain menawarkan sokongan kuat ke atas undang-undang yang lebih baik dalam mengurus sistem maklumat nasional, menghubungkan pangkalan data negara dan persekutuan yang menghalang penjenayah, orang yang mempunyai penyakit mental dan orang awam daripada membeli senjata.

Namun itu hanya akan menjejaskan jualan oleh peniaga senjata berlesen. Penjualan oleh peniaga senjata peribadi di pameran senjata dan banyak lagi jualan dalam talian, tidak memerlukan pemeriksaan latar belakang.

Ahli Kongres Demokratik, Mike Thompson mengumumkan beliau mempunyai 200 sokongan anggota Dewan, termasuk 11 Republikan, untuk undang-undang yang akan memperbaiki masalah pangkalan data kebangsaan dan pameran senjata atau kelemahan internet. Beliau kekurangan 18 lagi undi majoriti Dewan.

Prospek untuk pelaksanaan tindakan keras adalah rendah dengan Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA) kekal sebagai pelobi kuat menentang sebarang kawalan.

Sejak 2013, daripada 360 undang-undang senjata yang dicadangkan, hanya satu diterima sebagai undang-undang, menurut laman berita Axios. - AFP

Berita Harian X