Khamis, 8 March 2018 | 8:22am
KUMPULAN Cranberries akan meneruskan pengeluaran album baru mereka walaupun selepas kematian mengejut penyanyi utama, Dolores O'Riordan Januari lalu.

Cranberries teruskan pembikinan album baru

NEW YORK : Kumpulan rock terkenal dari Ireland, Cranberries akan meneruskan pengeluaran album baru mereka walaupun selepas kematian mengejut penyanyi utama, Dolores O'Riordan Januari lalu.

Kumpulan itu yang kini hanya memiliki tiga anggota berkata, O'Riordan sempat merakam suara untuk kesemua lagu dalam album itu yang diharapkan mampu diterbitkan awal tahun depan.

Kata kumpulan itu lagi, mereka juga akan meneruskan projek menerbitkan semula album pertama kumpulan berkenaan sempena ulang tahun ke-25 Cranberries tahun ini.

Pembikinan semula album bertajuk "Everyone Else is Doing It, So Why Can't We?" itu ditangguhkan sementara sebelum ini berikutan kematian O'Riordan.

"Selepas berfikir semasak-masaknya, kami mengambil keputusan untuk menyempurnakan projek yang telah dimulakan ini. Ia adalah detik permulaan kami sebagai sebuah kumpulan bersama Dolores, ia patut diteruskan sehingga sempurna," kata kumpulan itu di laman Facebook mereka.

Album terbitan tahun 1993 itu adalah permulaan kepada kejayaan Cranberries di peringkat antarabangsa, khususnya menerusi lagu bertajuk 'Linger' yang mengisahkan tentang kucupan pertama.

O'Riordan ditemui meninggal dunia di sebuah hotel di London pada 15 Januari lalu pada usia 46 tahun.

Inkues penuh kematian mendiang dijadualkan pada 3 April depan walaupun pihak berkuasa menolak sebarang kemungkinan perbuatan khianat. - AFP

27 dibaca
Berita Harian X