Sabtu, 31 March 2018 | 12:48am
FOTO fail, Arnold Schwarzenegger. - Foto AFP

Schwarzenegger stabil selepas pembedahan jantung

LOS ANGELES: Bintang aksi Hollywood, Arnold Schwarzenegger kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan jantung kecemasan, lapor laman berita selebriti TMZ semalam.

Pelakon berusia 70 tahun yang kini menjadi aktivis itu berada di sebuah hospital di Los Angeles untuk menggantikan injap saluran dan kemudian mengalami komplikasi, kata laman gosip itu memetik sumber yang tidak dinamakan.

TMZ berkata, pasukan doktor bergegas membawa bintang filem "Terminator" dan "Predator" itu ke dewan pembedahan untuk pembedahan jantung selama beberapa jam.

Schwarzenegger yang juga bekas jaguh bina badan Mr Universe pernah menjalani pembedahan jantung bukan kecemasan 21 tahun lalu untuk menggantikan injap aorta disebabkan penyakit keturunan dan tiada kaitan dengan steroid. - AFP

Berita Harian X