Ahad, 6 Mei 2018 | 7:20am
DONALD Trump dan, Theresa May. - Foto Reuters

Trump-May bincang isu Iran, Korea Utara

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Britain, Theresa May berbincang mengenai beberapa isu termasuk perjanjian nuklear Iran, seminggu sebelum presiden itu membuat keputusan untuk berundur dari pakatan berkenaan, kata Rumah Putih.

Pada 12 Mei ini, Trump dijangka membuat keputusan sama ada untuk meninggalkan pakatan Iran 2015, di mana negara Republik Islam itu berjanji untuk menghentikan program nuklearnya sebagai pertukaran kepada penarikan semula sekatan.

Pada 2 Mei lalu, Rumah Putih memaklumkan bahawa Trump nekad untuk berundur dari pakatan itu.

Walau bagaimanapun, Trump masih boleh mencari jalan untuk kekal dalam perjanjian di antara Republik Islam dan enam kuasa dunia termasuk Britain, China, Perancis, Jerman, Russia dan Amerika Syarikat itu.

Britain, Perancis dan Jerman bersetuju bahawa perjanjian itu adalah cara terbaik untuk menyekat Teheran daripada mendapatkan senjata nuklear, kata pejabat May pada akhir April lalu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang bertemu dengan Trump di Washington bulan lalu, turut menggesa presiden itu untuk kekal di dalam perjanjian berkenaan.

Trump dan May turut berbincang mengenai isu nuklear di Korea Utara.

"Menjelang perancangan pertemuan beliau dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tidak lama lagi, Presiden Trump menekankan matlamatnya untuk menghentikan program nuklear Korea Utara," kata Rumah Putih.

Trump dijangka melawat United Kingdom pada Julai ini. - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X