Khamis, 10 Mei 2018 | 3:25pm
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri) bersama tahanan, Kim Dong-chul (dua dari kanan), Kim Hak-Song (belakang) dan Tony Kim (tengah) selepas dibebaskan oleh Korea Utara di Pangkalan Udara Andrews. - Foto AFP

Trump, Melania sambut 3 tahanan dari Pyongyang

PANGKALAN UDARA ANDREWS: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara peribadi menyambut ketibaan tiga tahanan rakyat tempatan yang dibebaskan Korea Utara selepas mereka tiba berhampiran Washington awal hari ini.

Trump, yang bersiap sedia mengadakan sidang kemuncak bersejarah dengan pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un, bertemu tahanan terbabit, Kim Dong-chul, Tony Kim dan Kim Hak-song di sini pada tengah malam.

Beliau dan wanita pertama Melania, menaiki pesawat kerajaan berwarna biru dan putih sejurus mendarat untuk bertemu tahanan secara peribadi.

Pembebasan tahanan terbabit oleh Jong-un, kemenangan diplomatik diperlukan buat Trump, adalah batu loncatan terhadap pertemuan akan datang dengan pemimpin Korea Utara itu.

Ketibaan tahanan terbabit di Maryland menutup perjalanan penuh liku Setiausaha Negara Mike Pompeo, yang memuktamadkan pembebasan mereka ketika kunjungan 13 jam ke Pyongyang, ibu kota Korea Utara.

Beliau berada di Pyongyang untuk menguruskan mesyuarat sidang kemuncak itu, yang diharapkan Trump untuk memujuk Jong-un menamatkan program senjata nuklearnya. -AFP

Berita Harian X