Selasa, 5 Jun 2018 | 7:48am

Sekatan tegas ke atas Pyongyang diteruskan - Rumah Putih

WASHINGTON: Rumah Putih berkata semalam, dasar sekatan tegasnya terhadap Korea Utara tidak berubah, beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau enggan menggunakan frasa 'tekanan maksimum' untuk menggambarkan kempen menekan Pyongyang supaya melupakan program senjata nuklearnya.

Selepas bertemu pegawai kanan dari Pyongyang di Rumah Putih Jumaat lalu, Trump berkata, Korea Utara kini lebih terbuka untuk bekerjasama dan walaupun sekatan kekal, tiada sekatan baharu dikenakan.

Trump berkata, beliau tidak mahu menggunakan terma 'tekanan maksimum' lagi kerana kedua-dua pihak kini sedia bekerjasama.

Ditanya semalam jika kempen 'tekanan maksimum' akan diteruskan, jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders memberitahu media: "Sekatan masih berjalan, ia amat berkuasa dan kami tidak akan menarik balik kecuali Korea Utara melaksanakan gencatan senjata."

Pentadbiran Trump memuji kempen 'tekanan maksimumnya' disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa besar dunia kerana membantu membawa Korea Utara ke meja rundingan bagi melupakan senjata nuklearnya.

Sanders berkata, persediaan pertemuan antara Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berjalan lancar dan kedua-duanya dijadualkan bertemu jam 9 pagi waktu Singapura 12 Jun ini.

Trump berkata Jumaat lalu, pertemuan yang dibatal minggu sebelumnya akan diteruskan selepas beliau menerima kunjungan delegasi Korea Utara membawa surat daripada Jong-un.

Ditanya kandungan surat Jong-un itu, Sanders enggan menyatakan secara terperinci namun menambah, 'segala-galanya bakal diteruskan dan perkembangan baik sedang dilakukan.'

"Presiden menerima taklimat harian berkaitan Korea Utara daripada pasukan keselamatan kebangsaan," katanya.

Sanders berkata, pasukan lanjutan Rumah Putih, terdiri daripada kakitangan tentera, keselamatan, teknikal dan perubatan sudah berada di Singapura.

"Mereka kini memuktamadkan persiapan dan akan berada di sana sehingga sidang kemuncak berlangsung," katanya. -Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X