Jumaat, 20 Julai 2018 | 10:06am
PENGARAH Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) (DNI), Dan Coats. - Foto Reuters
PENGARAH Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) (DNI), Dan Coats. - Foto Reuters

Mustahil hapus senjata nuklear Pyongyang dalam setahun

WASHINGTON: Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) (DNI), Dan Coats berkata semalam, dari segi teknikal Korea Utara mungkin berupaya menghapuskan program senjata nuklearnya dalam tempoh setahun, namun menambah, ia tidak mungkin berlaku.

Ditanya dalam Forum Keselamatan Aspen di Colorado mengenai kenyataan Penasihat Keselamatan Rumah Putih, John Bolton, Pyongyang mungkin melaksanakan gencatan senjata dalam tempoh setahun, dibalas Coats: "Dari segi teknikal ia boleh dilaksanakan namun kemungkinan tidak akan berlaku. Ia satu proses lebih rumit berbanding yang difikirkan."

Beliau menambah, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo jelas berkata, langkah itu sukar dan mengambil masa serta meramalkan satu tempoh panjang.

Tiada tanda tindakan konkrit ke arah gencatan senjata nuklear oleh Pyongyang sejak Presiden Donald Trump dan pemimpinnya, Kim Jong-un mengadakan pertemuan di Singapura 12 Jun lalu.

Pompeo mengunjungi Pyongyang awal bulan ini dan kedua-dua pihak bergelut mencapai kata sepakat berkaitan isu memusnahkan program senjata nuklear.

Selasa lalu, Trump memberitahu media, rundingan berkaitan gencatan senjata dengan Korea Utara tidak perlu tergesa-gesa serta tiada had masa.

Coats berkata semalam, Jong-un membuat komitmen untuk melaksanakan gencatan senjata dan beliau serta pegawai kanan lain terus berikrar meneruskannya.

Ketua perisikan AS itu berkata, sekatan ke atas Korea Utara masih dilaksanakan secara meluas, disokong China, Russia dan negara lain, secara dramatik menurunkan eksport Pyongyang dan memaksa Jong-un menimbang 'satu potensi keruntuhan ekonomi jika beliau tidak melakukan sesuatu untuk menggerakkannya.' -Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X