Selasa, 24 Julai 2018 | 8:31am
Jurucakap Persidangan Episcopal Chile, paderi Jaime Coiro, bercakap semasa sidang akhbar di Santiago. - Foto AFP
Jurucakap Persidangan Episcopal Chile, paderi Jaime Coiro, bercakap semasa sidang akhbar di Santiago. - Foto AFP

158 kakitangan gereja disiasat kes dera seksual di Chile

SANTIAGO: Kerajaan Chile melancarkan siasatan ke atas 158 anggota gereja Katolik, termasuk paderi dan orang awam, yang dipercayai melakukan atau menyembunyikan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak serta golongan dewasa.

Menurut pendakwa raya awam, Luis Torres, kes itu membabitkan insiden yang berlaku sejak 1960-an dan ia membabitkan 266 mangsa, termasuk 178 kanak-kanak dan remaja.

Kenyataan pihak pendakwa raya itu mendedahkan kepada orang ramai mengenai kes penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh gereja Katolik di Chile dan jumlah mereka yang terbabit dalam kes itu.

Bulan lalu, Paus Francis menerima peletakan jawatan lima biskop Chile susulan pelbagai tuduhan melindungi kes penderaan.

"Sebahagian besar daripada insiden membabitkan jenayah seksual yang dilaporkan, dilakukan oleh paderi atau individu yang mempunyai kaitan dengan pertubuhan pendidikan," kata Torres kepada wartawan. - AFP

Berita Harian X