Selasa, 24 Julai 2018 | 11:29am
PELARIAN Rohingya menggunakan buluh untuk membina pondok di penempatan kem Balukhali dekat Ukhia. - Foto AFP

Tingkat usaha bawa pulang Rohingya dengan selamat - UNSC

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa Myanmar meningkatkan usaha bagi memastikan semua pelarian Rohingya dapat pulang ke negara mereka dalam keadaan selamat dan sukarela.

Pada satu majlis tertutup di ibu pejabat PBB di sini, kesemua 15 negara anggota mendesak Myanmar mewujudkan bantuan pembangunan sosial dan ekonomi selain meningkatkan kemudahan untuk menjamin kepulangan pendatang Rohingya ke negeri Rakhine.

"Kesemua anggota UNSC berterusan menekankan kepentingan untuk mengadakan siasatan secara bebas dan telus ke atas semua tuduhan pencabulan serta penderaan hak asasi manusia," kata majlis berkenaan dalam satu kenyataan.

Wakil PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener berkata, kerajaan mengalu-alukan kepulangan ratusan ribu pelarian Rohingya ke Rakhine.

"Pihak berkuasa kerajaan secara terbuka mengisytiharkan bahawa mereka mahu membawa semua pelarian terbabit pulang," katanya.

Burgener bagaimanapun mengakui situasi yang masih tegang di Rakhine antara penduduk minoriti Islam dan golongan terbesar, penduduk beragama Buddha.

"Mereka mahu membawa semua pelarian ini pulang tetapi harus dalam keadaan selamat dan sukarela dengan cara penuh bermaruah dan berterusan," kata Burgener. - AFP

Berita Harian X