Jumaat, 24 Ogos 2018 | 8:13am
MARK David Chapman

Pembunuh John Lennon gagal dapat parol kali ke-10

NEW YORK: Lelaki yang menembak mati ikon rock, John Lennon, hampir 38 tahun lalu sekali lagi gagal dalam percubaan ke-10 mendapatkan parol, kata pihak berkuasa penjara New York semalam.

Lembaga parol negeri menolak permohonan Mark David Chapman, 63, selepas sesi pendengaran dan memberitahu beliau perlu menunggu dua tahun lagi untuk tujuan itu, kata kenyataan Jabatan Pemulihan New York dan Penyeliaan Komuniti.

“Panel mendapati pembebasan anda bertentangan dengan kebajikan dan keselamatan masyarakat,” kata panel tiga anggota Lembaga Parol dalam surat kepada Chapman.

Chapman, yang sebelum ini berada dalam keadaan teruk ketika menembak anggota Beatle itu dan mahu mendapatkan perhatian, menjalani hukuman penjara 20 tahun hingga seumur hidup selepas mengaku bersalah membunuh tanpa niat pada 1981.

Dikenali sebagai banduan 81A3860, Chapman ditahan di Kemudahan Pemulihan Wende di Alden, New York, di timur Buffalo, sejak 2012 apabila dipindahkan dari Attica, kira-kira 24 kilometer dari situ.

Lennon baru kembali aktif selepas berehat seketika dengan penerbitan album ‘Double Fantasy’ apabila kembali ke rumahnya di Upper West Side di Manhanttan pada 8 Disember 1980 selepas sesi rakaman waktu malam.

Chapman menunggu Lennon di luar dan menembaknya empat das di depan isteri penyanyi itu, Yoko Ono. — Reuters

23 dibaca
Berita Harian X