Sabtu, 25 Ogos 2018 | 9:45am
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. - Foto Reuters
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. - Foto Reuters

Trump batal kunjungan Pompeo ke Pyongyang, kecam China

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam membatalkan secara tiba-tiba lawatan Setiausaha Negara Mike Pompeo ke Korea Utara, mengakui secara terbuka buat kali pertama usaha memastikan Pyongyang melaksanakan gencatan senjata terhenti sejak pertemuan mereka Jun lalu.

Trump sebahagiannya menyalahkan China atas ketiadaan perkembangan dengan Korea Utara dan mendakwa, rundingan bersama Pyongyang yang diketuai Pompeo terpaksa ditangguhkan sehingga selepas Washington menyelesaikan pertikaian perdagangan dengan Beijing.

Ia adalah satu peralihan dramatik buat Trump yang sebelum ini menganggap sidang kemuncak 12 Jun lalu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un amat berjaya dan berkata, ancaman nuklear Pyongyang sudah berakhir, walaupun tiada tanda negara itu bersedia melupakan senjata nuklearnya.

Namun Trump masih membuka pintu terhadap pertemuan kedua dengan Jong-un yang dikatakan beliau ‘mempunyai daya penarik hebat.’

“Saya meminta Setiausaha Negara Mike Pompeo tidak pergi ke Korea Utara ketika ini kerana saya merasakan kami tidak membuat perkembangan mencukupi berkaitan gencatan senjata di Semenanjung Korea,” tulis Trump di Twitter.

Misi Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) enggan mengulas.

Rundingan menemui jalan buntu sejak pertemuan di Singapura. Pompeo memberi tekanan terhadap langkah ketara ke arah penghentian senjata nuklear Korea Utara sementara Pyongyang menuntut Washington membuat pelarasannya sendiri.

Kenyataan Trump dibuat sehari selepas Pompeo berkata, beliau akan mengunjungi Korea Utara lagi dan membawa bersama wakil khas baharunya, bekas eksekutif industri automobil, Stephen Biegun.

Namun Trump meminta Pompeo tidak melakukan lawatan itu ketika mesyuarat semalam dan mereka mengeluarkan tweet bersama, kata pegawai Rumah Putih.

Sesetengah pegawai perisikan dan pertahanan AS menganggap kunjungan terbaharu Pompeo sebagai terlalu awal dan berkata, prospek untuk perkembangan ketara jelas samar-samar.

Trump masih berharap untuk mengadakan pertemuan lain dengan Jong-un dengan harapan melanjutkan proses itu namun tidak berpuas hati dengan isyarat terbaharu dari Korea Utara, kata seorang pegawai Rumah Putih. -Reuters

Berita Harian X