Rabu, 29 Ogos 2018 | 8:08am
DONALD Trump

Trump tuduh media sosial berat sebelah

WASHINGTON: Presiden Donald Trump, semalam menuduh enjin pencarian, Google, mempromosikan artikel berita negatif dan menyembunyikan liputan ‘adil media’ mengenainya.

Beliau juga berikrar menangani keadaan itu tanpa memberikan sebarang bukti atau butiran tindakan yang mungkin diambil.

Serangan lisan Trump terhadap unit Alphabet Inc itu menyusul siri rungutan mengenai syarikat teknologi, termasuk media sosial Twitter Inc dan Facebook Inc, yang dituduh beliau tidak menyiarkan pandangan konservatif.

Sementara Amazon.com Inc pula dikatakan menjejaskan perniagaan kecil dan mendapat manfaat daripada perjanjian dengan Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat.

Trump kerap menyelar media di atas apa yang disifatkan liputan tidak adil.

Google menafikan sebarang berat sebelah dalam politik, berkata dalam kenyataan enjin pencarian itu ‘tidak biasa menetapkan agenda politik dan tidak berat sebelah ke arah mana-mana ideologi politik’.

Dalam siri tweet semalam, Trump berkata hasil pencarian Google bagi ‘Berita Trump’ dimanipulasi menentangnya kerana mereka cuma menunjukkan liputan daripada media seperti CNN dan penerbitan bukan konservatif, menyatakan amalan itu melanggar undang-undang.

“Saya fikir Google memang mengambil kesempatan di atas penduduk.

“Google, dan Twitter dan Facebook, mereka berada di kawasan bermasalah dan perlu berwaspada.

“Ia tidak adil kepada sebahagian besar penduduk,” katanya.

Facebook enggan memberi ulasan mengenai perkara itu manakala usaha mendapatkan Twitter tidak berjaya. — Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X