Khamis, 20 September 2018 | 1:02pm
JAKET yang pernah dipakai Han Solo dalam filem Star Wars. - Foto fail AFP

Jaket Han Solo, topi Indiana Jones dilelong di London

LONDON: Jaket yang pernah dipakai penyeludup galaksi terkenal, Han Solo dalam filem Star Wars dan topi dalam filem Indiana Jones antara memorabilia luar biasa yang bakal dilelong di London hari ini.

Lebih daripada 600 kostum dan peralatan yang melatari filem dan siri televisyen popular termasuk papan luncur terapung milik Marty McFly dari filem “Back To The Future Part II”, juga akan dilelong oleh Prop Store di kompleks BFI IMAX.

Menurut Prop Store, jaket yang pernah dipakai aktor Harrison Ford sebagai Han Solo dalam filem “Star Wars Episode V: The Empire Strikes Back.” akan menjadi barangan paling dinantikan kali ini.

Ia dijangka menjadi barangan paling tinggi nilai lelongan mencecah sehingga £1 juta (RM5.4 juta).

Sementara itu, papan luncur milik Marty McFly lakonan Michael J. Fox yang lengkap dengan kemasan hijau dan pink di bahagian atasnya dijangka mampu meraih £30,000 sehingga £50,000 (RM163,229 hingga RM272,000).

Barangan dari siri filem “James Bond”, “The Godfather”, “Harry Potter”, “Batman”, “Aliens”, “Star Trek”, “Blade”, “Tomb Raider” dan “Man In Black” turut ditawarkan kali ini. - AFP

Berita Harian X