Isnin, 24 September 2018 | 2:20pm
BILL Cosby kembali ke mahkamah Pennsylvania Isnin ini bagi menerima hukuman atas kesalahan serangan seksual, lima bulan selepas disabitkan dengan kesalahan pada perbicaraan lalu. - Foto fail AFP

Bill Cosby kembali ke mahkamah untuk hukuman jenayah seksual

NORRISTOWN (CALIFORNIA) : Ikon televisyen Amerika Syarikat (AS), Bill Cosby kembali ke mahkamah Pennsylvania Isnin ini bagi menerima hukuman atas kesalahan serangan seksual, lima bulan selepas disabitkan dengan kesalahan pada perbicaraan lalu.

Lelaki uzur berusia 81 tahun yang satu ketika dulu disayangi ramai dan diberi gelaran ‘America’s Dad’ berdepan hukuman maksimum iaitu penjara sehingga 30 tahun kerana memberi dadah serta mencabul Andrea Constand di kediaman mewahnya di Philadelphia pada Januari 2004.

Beliau adalah selebriti pertama dihukum atas jenayah seksual sejak kejatuhan penerbit filem terkemuka, Harvey Weinstein tahun lalu yang juga permulaan kepada kebangkitan rakyat AS menentang gangguan seksual secara besar-besaran.

Pelawak dan pemenang anugerah berkenaan didapati bersalah di atas tiga tuduhan serangan seksual pada 26 April lalu, setiap satu membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Pendakwa memohon beliau terus menjalani hukuman namun barisan peguamnya dijangka membuat rayuan untuk beliau kekal menjalani tahanan rumah sementara menanti keputusan untuk rayuan lain.

Keputusan akhir itu akan disampaikan Hakim Steven O’ Neill yang akan menjatuhkan hukuman selepas sesi pendengaran selama dua hari di Norristown.

Kes berkenaan mencemarkan maruah dan reputasi Cosby sebagai aktor pujaan ramai yang juga pelakon kulit hitam pertama mengisi slot tayangan pada waktu puncak untuk rancangan televisyen AS. - AFP

Berita Harian X