Rabu, 3 Oktober 2018 | 10:37am
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berucap di hadapan penyokong pada perhimpunan di Southaven, Mississippi. - Foto REUTERS

New York siasat dakwaan Trump lari cukai

NEW YORK: Jabatan hasil negeri New York menyiasat laporan menyatakan Presiden Donald Trump membantu ibu bapanya mengelak cukai jutaan dolar dan menerima lebih banyak wang daripada empayar hartanah bapanya berbanding yang didakwa pada masa lalu.

Terdahulu, akhbar New York Times melaporkan, siasatan menyeluruh yang dilakukan sendiri mengenai pulangan cukai dan rekod sulit menunjukkan Trump terbabit dalam taktik cukai mencurigakan, termasuk ‘penipuan terang-terangan’ yang menambah dengan ketara dana diterima daripada ibu bapanya.

Trump sebelum ini beberapa kali menyatakan beliau cuma menerima sedikit bantuan daripada bapanya, Fred Trump, dalam membina kekayaannya.

“Jabatan Cukai menilai dakwaan dalam artikel New York Times dan melancarkan semua cara siasatan bersesuaian,” kata jurucakap Percukaian dan Kewangan New York, James Gazzale.

Akhbar berkenaan melaporkan, Trump menerima sejumlah AS$413 juta (RM1.7 bilion) dalam nilai dolar hari ini daripada aktiviti hartanah bapanya, memperoleh AS$200,000 (RM827,000) setahun dalam nilai dolar hari ini pada usia tiga tahun.

Menjelang usia lapan tahun, beliau sudah menjadi jutawan.

Trump juga dilaporkan menerima AS$1 juta (RM4.1 juta) setahun daripada bapanya selepas beliau tamat pengajian di kolej, tambah akhbar itu, menyatakan dana itu meningkat kepada lebih AS$5 juta (RM20 juta) setahun apabila beliau berusia 40-an dan 50-an.

Menurut akhbar itu, jumlah besar dana adalah untuk taktik mengelak cukai yang dirangka Trump, termasuk ‘perbadanan palsu’ dihasilkan beliau dan adik beradiknya untuk menyembunyikan jutaan dolar yang diberikan ibu bapa mereka. — AFP

Berita Harian X