Jumaat, 5 Oktober 2018 | 1:57pm
Robin Williams. - Foto AFP

Memorabilia milik Robin Williams dilelong RM25 juta

NEW YORK: Karya seni dan memorabilia filem milik mendiang aktor Robin Williams dan isterinya dilelong mencecah RM25 juta di sini semalam, empat tahun selepas kematiannya, kata Sotheby.

Pemenang Oscar, veteran filem, bintang komedi dan bintang televisyen yang meninggal dunia pada Ogos 2014 itu adalah antara penghibur paling popular di Hollywood.

Lebih 2,000 peminat dan pengumpul barangan memorabilia dari seluruh dunia mendaftar diri untuk membida kira-kira 300 karya yang dimiliki Williams dan isteri keduanya, pengeluar filem dan dermawan Marsha Garces Williams, kata Sotheby.

Lukisan oleh seorang artis Switzerland, Adolf Wolfli berjudul "Der San Salvathor" menjadi barang lelongan paling mahal terjual dengan harga mencecah AS$795,000 (RM3.2 juta) kata rumah lelongan itu.

Barangan peribadi lain yang turut menjadi perhatian termasuk cat air dari filem "Good Will Hunting" yang dijual dengan harga AS$90,000 (RM373,183) dan sentuhan artis jalanan Banksy pada 2006 berjudul "Happy Choppers" yang dilelong pada harga AS$735,000 (RM3 juta).

Antara organisasi yang akan mendapat manfaat daripada lelongan ini adalah The Juilliard School di New York, Wounded Warrior Project dan Challenged Athletes Foundation.

Williams yang memenangi Oscar pada 1998 untuk filem "Good Will Hunting” membunuh diri pada usia 63 tahun.

Balu yang juga isteri ketiganya, Susan Schneider kemudian mendedahkan bahawa Williams menderita Lewy body dementia, sejenis penyakit kemerosotan saraf yang menjejaskan sikap, pergerakan dan mencetuskan halusinasi. - AFP

33 dibaca
Berita Harian X