Selasa, 9 Oktober 2018 | 9:27am
IMEJ satelit Taufan Michael. - Foto EPA

Florida siap sedia hadapi ketibaan Taufan Michael

FLORIDA: Gabenor Florida menggerakkan pasukan Pengawal Nasional dan mengarahkan penduduk sekitar Pantai Teluk itu untuk menuju ke bahagian dalam bandar atau bersiap sedia untuk dipindahkan bagi menghadapi ketibaan Taufan Michael.

Menurut kerajaan negeri, kekuatan Michael dijangka bertambah kepada taufan kategori 3 menjelang hari ini dengan kekuatan angin melebihi 160 kilometer sejam, menjadikan ia antara taufan paling kuat melanda Panhandle, Florida dalam tempoh beberapa dekad.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC), taufan itu juga diramalkan membawa bersama hujan sehingga 30 sentimeter dan ribut sehingga 3.7 meter.

Michael buat masa ini masih dikelaskan sebagai taufan kategori 1 berdasarkan skala lima peringkat Saffir-Simpson.

Gabenor Florida, Rick Scott membuat pengisytiharan darurat di lebih 20 daerah sepanjang Panhandle dan Big Bend selain turut menasihatkan penduduk sekitar Pantai Teluk untuk bersiap sedia menerima arahan berpindah serta mengarahkan lebih 5,000 tentera Pengawal Nasional bersiap sedia.

“Kita kesuntukan masa. Hari ini ialah hari untuk merancang semua perkara kerana esok mungkin sudah terlalu lewat. Adalah amat penting untuk anda menjaga diri dan keluarga kerana Taufan Michael semakin menghampiri Florida,” kata Scott di Twitter.

Michael sebelum ini menjejaskan beberapa bahagian di Mexico dan Cuba dengan tiupan angin kencang dan hujan lebat sejak Ahad hingga awal pagi semalam.

Datuk Bandar Tallahassee Andrew Gillum yang juga calon Demokrat untuk pilihan raya gabenor pada 6 November ini pada Ahad lalu berkata, beliau membatalkan acara kempen dan pulang ke Tallahassee bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi ketibaan Michael. - Reuters

Berita Harian X