Rabu, 10 Oktober 2018 | 12:10pm
Gambar disediakan oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS (NOAA) menunjukkan imej satelit Geo-Warna TaufanMichael menghampiri pantai Amerika Syarikat. - Foto EPA

Kekuatan bertambah, Michael antara taufan terburuk landa Florida

PANAMA CITY (AMERIKA SYARIKAT) : Kekuatan Taufan Michael semakin bertambah semalam ketika menuju ke Florida dan disenaraikan sebagai kategori 3 yang berupaya mendatangkan kemusnahan, selaras dengan amaran gabenor bahawa ia mungkin terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Michael memiliki kekuatan angin selaju 195 kilometer sejam ketika dalam perjalanan ke Panhandle, Florida di Teluk Mexico.

Menurut Pusat Taufan Nasional (NHC), taufan itu dijangka tiba tengahari ini, membawa bersama ribut kencang dan hujan lebat.

Mantan ketua NHC, Rick Knabb menggesa penduduk tempatan di kawasan laluan Michael supaya tidak berlengah untuk berpindah demi keselamatan masing-masing.

“Michael boleh menjadi antara taufan terburuk pernah melanda rantau Big Bend dan Panhandle.

“Kita hanya mempunyai masa sehari untuk berpindah. Sila patuhi arahan untuk berlindung dari ribut dan angin kencang,” katanya.

Gabenor Rick Scott yang menggerakkan 2,500 anggota Pengawal Kebangsaan turut menyetujui saranan Knabb dan berkata, Taufan Michael boleh mendatangkan ancaman sebagai taufan terburuk pernah melanda Panhandle dalam tempoh beberapa dekad.

Ketua jabatan bomba Panama City, Larry Couch pula menggesa penduduk untuk segera berpindah.

“Jika mereka memutuskan untuk tidak berbuat demikian, kami mungkin gagal tiba di lokasi untuk menghulurkan bantuan. Kami akan menutup operasi di beberapa kawasan dan apabila ia berlaku, mereka terpaksa menyelamatkan diri sendiri,” katanya. - AFP

Berita Harian X