Ahad, 14 Oktober 2018 | 3:30pm
Jared Kushner. - Foto Reuters

Menantu Trump elak bayar cukai

WASHINGTON: Menantu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Jared Kushner dikatakan hanya membayar sedikit atau langsung tidak membayar cukai pendapatan persekutuan antara 2009 dan 2016, lapor New York Times yang memetik beberapa dokumen kewangan sulit.

Akhbar itu melaporkan dokumen itu disediakan dengan kerjasama Kushner yang juga penasihat kanan Rumah Putih, sebagai rujukan sebuah institusi kewangan yang mempertimbangkan untuk memberikan pinjaman kepadanya.

Menurut The Times, bil cukai Kushner menggambarkan penggunaan faedah cukai yang dikenali sebagai susut nilai yang membolehkan pelabur hartanah memotong sebahagian daripada kos hartanah daripada pendapatan bercukai mereka.

Laporan The Times mendedahkan bahawa tidak ada perkara yang terkandung di dalam dokumen itu menunjukkan Kushner atau syarikatnya menyalahi undang-undang.

Jurucakap peguam Kushner, Abbe Lowell, Peter Mirijanian berkata, beliau tidak akan memberi maklum balas kepada andaian akhbar yang dikatakannya memetik maklumat daripada dokumen yang tidak lengkap dan melanggar undang-undang serta perjanjian kerahsiaan perniagaan standard.

Katanya, Kushner selalunya mengikut nasihat beberapa peguam dan akauntan dengan memfailkan dan membayar cukai mengikut undang-undang serta peraturan.

Rekod menunjukkan The New York Times tidak mendedahkan berapa banyak cukai yang dibayar Kushner, tetapi memasukkan anggaran jumlah tunggakan cukai pendapatan dan berapa jumlah anggaran cukai yang perlu dibayar Kushner dikenali sebagai ‘cukai prabayar’.

Menurut akhbar itu, untuk dua tahun berturut-turut kedua-dua senari itu menunjukkan angka kosong, tetapi pada 2013, Kushner melaporkan cukai pendapatan berjumlah AS$1.1 juta (RM4.57 juta). - Reuters

17 dibaca
Berita Harian X