Isnin, 15 Oktober 2018 | 10:46am
KEADAAN bangunan yang rosak selepas dibadai Taufan Michael di Mexico Beach, Florida. - Foto AFP

Jumlah korban Taufan Michael dijangka terus meningkat

MEXICO BEACH : Puluhan penduduk dari komuniti Panhandle dilaporkan masih hilang semalam selepas kawasan itu dibadai Taufan Michael dan pasukan penyelamat menjangkakan jumlah kematian akan terus meningkat.

Sehingga hari ini 18 kematian telah disahkan di empat negeri yang dilanda taufan terbabit dan pasukan penyelamat dengan bantuan anjing pengesan masih meneruskan usaha mencari mangsa di sekitar runtuhan kediaman di beberapa pekan kecil seperti Mexico Beach dan Panama City.

Sehingga kini seorang penduduk disahkan maut di Mexico Beach yang terdedah secara langsung kepada taufan itu tetapi penyelamat berdepan kesukaran akibat halangan di laluan utama dan timbunan runtuhan.

“Jika kita hanya kehilangan satu nyawa, itu pada saya adalah satu keajaiban,” kata Datuk Bandar Mexico Beach, Al Cathey kepada media tempatan.

Cathey berkata, lebih 250 penduduk masih berada di kawasan itu apabila Taufan Michael melanda Rabu lalu sebagai taufan kategori 4 mengikut skala lima peringkat Saffir Simpson, iaitu taufan paling kuat pernah melanda Florida setakat ini.

Datuk Bandar berkenaan memberitahu ABC News, 46 daripada 1,000 penduduk masih hilang setakat semalam manakala pasukan penyelamat berjaya mengesan ratusan penduduk yang sebelum ini dilaporkan hilang di seluruh Panhandle.

Gabenor Florida, Rick Scott yang melawat keseluruhan kawasan menggunakan helikopter bersama pegawai Agensi Pengurusan Kecemasan Florida (FEMA) berkata, fokus utama masih pada usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Lebih daripada 1,700 pekerja mencari dan menyelamat telah digerakkan, kata pejabat Scott termasuk tujuh pasukan penyelamat air dan hampir 300 ambulans.

Sementara itu di Panama City, Ketua Jabatan Bomba Alex Baird berkata pasukan mencari dan menyelamat kini sedang berada dalam fasa pemulihan selepas berputus asa untuk menemui mangsa yang terselamat. - Reuters

Berita Harian X