Rabu, 17 Oktober 2018 | 7:49am
ANGGOTA penyelamat dan sukarelawan berusaha mencari lebih 1,000 orang dikhuatiri masih hilang di Florida Panhandle. - Foto AFP

Penyelamat cari lebih 1,000 hilang akibat Michael

LYNN HAVEN: Anggota penyelamat dan sukarelawan berusaha mencari lebih 1,000 orang dikhuatiri masih hilang di Florida Panhandle dan ribuan penduduk masih bergelap semalam selepas kawasan itu dibadai Taufan Michael minggu lalu.

Angka kematian akibat serangan Michael meningkat kepada 29 orang ketika kru menggali runtuhan. Satu daripada taufan paling ganas menyerang benua Amerika Syarikat (AS), ia meragut 20 nyawa di Florida Panhandle, lima di Virginia, tiga di Carolina Utara dan seorang di Georgia, menurut kiraan Reuters dalam laporan rasmi.

Pengasas bersama pertubuhan penyelamat sukarelawan CrowdSource Rescue berpusat di Houston, Matthew Marchetti berkata, pasukannya cuba mencari 1,300 orang yang masih hilang dalam zon bencana di Panhandle.

“Bagi setiap seorang individu yang kami hubungi, ada kemungkinan tiga lain yang gagal berbuat demikian,” kata Marchetti.

Serpihan, pokok dan tiang elektrik tumbang menjejaskan akses kepada penduduk yang terkandas, namun kumpulan itu berkata, sejumlah laporan individu hilang disebabkan bekalan elektrik terputus dan masalah komunikasi.

Marchetti berkata, kebanyakan mangsa yang hilang berasal dari Panama City dan ramai di antaranya terdiri daripada warga emas, cacat, miskin atau tinggal bersendirian.

Di bandar teruk terjejas di Mexico Beach di mana penyelamat menggunakan anjing mencari mangsa tertimbus dalam runtuhan, jumlah mangsa hilang menurun kepada tiga orang semalam, kata seorang ahli majlis perbandaran, Rex Putnal. Sehari sebelumnya, angka itu berjumlah lebih 30 orang.

Bandar dengan 1,200 penduduk itu melaporkan dua kematian sehingga Isnin lalu.

“Agak menakjubkan hanya dua kematian dicatat,” kata Datuk Bandar Mexico Beach, Al Cathey. Hampir 1,900 kediaman dan premis perniagaan bergelap di Pantai Tenggara AS, dengan penduduk bandar tepi laut itu terpaksa memasak menggunakan unggun api.

Sekurang-kurangnya 80 peratus pelanggan di tiga daerah luar bandar Panhandle tanpa bekalan elektrik semalam. Pihak berkuasa berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum bekalan dipulihkan. -AFP/Reuters

Berita Harian X