Selasa, 23 Oktober 2018 | 3:00pm
PENUMPANG menunggu bagasi mereka selepas tiba di lapangan terbang Mazatlan. - Foto Reuters
PENUMPANG menunggu bagasi mereka selepas tiba di lapangan terbang Mazatlan. - Foto Reuters

Taufan Willa paksa ribuan penduduk Mexico berpindah

MAZATLAN: Ribuan penduduk di pesisiran pantai pasifik Mexico dipindahkan, manakala binaan bangunan diperkukuh dan persekolahan dibatalkan susulan ancaman angin kencang dan hujan lebat oleh taufan Willa ke kawasan peranginan itu, hari ini.

Sejak malam tadi, penduduk mula menutup tingkap dan pintu beberapa bangunan hotel di sepanjang pinggir jalan ke pusat bandar bersejarah di sini, dengan kepingan kayu besar, ketika pelancong menyusuri kawasan berkenaan.

Willa diramalkan sebagai salah satu taufan paling berkuasa melanda Mexico dari lautan Pasifik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, stesen minyak di pinggir bandar Mazatlan, Sinaloa di sini, kelihatan kenderaan beratur panjang bagi mengisi minyak, selain membeli barangan keperluan asas di kedai runcit berhampiran.

Menurut pekerja kedai, Zulema Pardo, penduduk sudah mula berpusu-pusu membeli barang keperluan asas sejak beberapa jam lalu, termasuk air dan petrol, malah bekalan roti turut kehabisan.

“Orang ramai kelihatan amat ketakutan. Mereka seperti hilang akal dan tegang,” katanya.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) yang berpangkalan di Miami, pada lewat malam tadi, taufan itu dilaporkan bertiup pada kelajuan 140 kilometer dari arah barat kepulauan Las Islas Marias.

“Beberapa kawasan tumpuan pelancong di Nayarit, termasuk pantai peranginan di Puerto Vallarta, Jalisco turut terletak dalam laluan taufan itu, yang diramal membawa angin kencang dan hujan lebat yang mampu mengancam nyawa,” kata NHC.

Menurut NHC, taufan Willa dinaikkan kepada kategori 5 selepas bertiup pada kelajuan 145 kilometer sejam, malam tadi.

Gabenor Nayarit, Antonio Echevarria, berkata lebih 10,000 penduduk sudah dipindahkan dan semua sekolah sudah ditutup.

“Jangan cuba berlagak berani. Jangan cuba bertindak seperti wira. Ia adalah taufan yang sangat kencang, sangat kuat, dan kita tidak mahu berlaku sebarang tragedi,” katanya. - Reuters

Berita Harian X