Selasa, 20 November 2018 | 1:24pm
Penulis kajian menggunakan teori dikenali model insulin-karbohidrat untuk membuktikan pengambilan diet rendah karbohidrat membantu mengurangkan berat badan. -Foto Agensi
Penulis kajian menggunakan teori dikenali model insulin-karbohidrat untuk membuktikan pengambilan diet rendah karbohidrat membantu mengurangkan berat badan. -Foto Agensi

Diet rendah karbohidrat, lebih banyak kalori dibakar

BOSTON: Selama bertahun individu yang berdiet diberitahu, kalori adalah kalori, namun kajian baharu mengatakan, mereka boleh membakar lebih banyak kalori jika mengamalkan diet rendah karbohidrat berbanding diet kaya jenis makanan sebegitu.

Penulis bersama kajian, Dr David Ludwig yang menjadi pengarah bersama di Pusat Pencegahan Obesiti Yayasan New Balance, Hospital Kanak-kanak Boston berkata, penemuan itu menunjukkan bukan semua kalori sama dengan tubuh.

“Mengehadkan karbohidrat mungkin strategi lebih baik berbanding mengehadkan kalori dalam jangka panjang,” katanya.

Kajian baharu itu tidak memfokuskan kehilangan lebihan berat, namun berkaitan faktor yang menjadikannya sukar mengekalkan kehilangan berat badan; hakikat bahawa tubuh menyesuaikan diri ketika berat dikurangkan dengan melambatkan metabolisme sekali gus kurang kalori dibakar.

Bagi kebanyakan individu, ia bermaksud berat badan bertambah.

Ludwig menggunakan teori, dikenali sebagai model insulin-karbohidrat, mencadangkan meningkatkan pengambilan apa yang digelar makanan tinggi glisemik- meninggikan paras gula darah dengan mendadak sebaik dimakan, mencetuskan perubahan hormon yang menambah rasa lapar serta menjurus pertambahan berat.

Untuk melihat jika metabolisme dan rasa lapar dapat ditukar dengan jenis makanan dimakan individu, Ludwig dan rakannya, mengambil 164 dewasa terlebih berat berusia 18 hingga 65 yang sudah hilang 10 peratus berat tubuh, menugaskan secara rawak mereka kepada satu daripada tiga diet pelbagai jenis karbohidrat selama 20 minggu.

Makanan sukarelawan itu, disediakan penyelidik, memiliki kiraan harian kalori sama dan kesemuanya mengandungi 20 peratus protein. Namun diet satu kumpulan terdiri daripada 20 peratus lemak dan 60 peratus karbohidrat, satu lagi diet dengan 40 peratus lemak dan 40 peratus karbohidrat manakala ketiga, makan 60 peratus lemak dan 20 peratus karbohidrat.

Selepas mengesan berat sukarelawan dan mengukur tenaga menerusi tempoh kajian, jelasnya mereka yang makan paras karbohidrat terendah membakar paling banyak kalori.

Kemungkinan sama pentingnya, paras hormon pengawal lapar, ghrelin dan leptin, juga rendah. -Reuters

Berita Harian X