Jumaat, 30 November 2018 | 10:57am
Trump dan isterinya, Melania, tiba di Buenos Aires menaiki Air Force One sempena sidang G20. -Foto AFP

Trump batal pertemuan dengan Putin

DALAM PESAWAT AIR FORCE ONE: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam membatalkan satu pertemuan dirancang dengan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin di Argentina, berikutan layanan Moscow terhadap Ukraine, menjurus ketidaktentuan terhadap hubungan kedua-duanya.

Trump berkata, beliau menarik diri berikutan ketegangan terhadap insiden tentera Russia melepaskan tembakan ke arah kapal laut Ukraine dan merampasnya bersama kru Ahad lalu berhampiran Crimea, diambil alih daripada Kiev pada 2014.

Keputusannya juga dibuat ketika satu siasatan persekutuan terhadap hubungan kempen pilihan raya 2016 dengan Russia semakin diperhebat.

Bekas peguam Trump, Michael Cohen mengaku bersalah semalam menipu Kongres berhubung satu cadangan projek hartanah Presiden AS itu di Russia.


Trump disambut Menteri Luar Argentina, Jorge Faurie (dua dari kiri) di Buenos Aires, semalam. -Foto AFP

“Berdasarkan hakikat kapal dan kelasi tidak dipulangkan semula ke Ukraine dari Russia, saya memutuskan perkara terbaik untuk semua pihak berkepentingan ialah membatalkan pertemuan dirancang sebelumnya di Argentina dengan Presiden Vladimir Putin.

“Saya berharap satu sidang kemuncak bermakna sekali lagi sebaik situasi ini diselesaikan!” tweet Trump.

Tweet Presiden AS itu dilakukan dalam pesawat sejurus berlepas dari Washington ke Buenos Aires untuk sidang kemuncak G20, adalah satu perubahan mendadak.

Sejam sebelumnya, beliau memaklumkan media, dirinya kemungkinan bertemu Putin dalam G20 dan berkata, ‘ia adalah masa terbaik untuk mengadakan pertemuan.’

Pengumuman Trump itu jelas mengejutkan Moscow, dengan pihak berkuasa Russia memperoleh berita itu daripada media.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu agensi berita RIA, pihaknya kesal dengan keputusan Trump dan berkata Russia bersedia berhubung dengannya. -Reuters

Berita Harian X