Ahad, 2 Disember 2018 | 4:47pm
JAKET merah milik pengasas majalah Playboy berjaya dilelong pada harga RM173,884 di Beverly Hills, California. - Foto AFP
MESIN taip ketika zaman kolej Hugh Hefner. - Foto AFP

Jaket, cincin 'Viagra' pengasas majalah Playboy dilelong

LOS ANGELES: Jaket merah milik pengasas majalah Playboy, Hugh Hefner berjaya dilelong pada harga AS$41,600 (RM173,884) ketika lelongan barangan milik penerbit itu, di sini.

Ketika sesi lelongan itu juga, peminat dan pengumpul barangan masing-masing berebut-rebut untuk memiliki barangan peribadi milik Hefner yang terdiri daripada mesin taip ketika zaman kolej beliau serta majalah pertama terbitannya.

Lelongan selama dua hari anjuran Rumah Lelongan Julien itu turut menarik ramai pembida termasuk pelawak Jim Belushi, yang membeli skrip bersarung kulit untuk rancangan ‘Saturday Night Live Show’ yang pernah dihoskan Hefner dengan harga AS$3,125 (RM13,062).

Barangan paling tinggi berjaya dilelong adalah mesin taip yang digunakan untuk menulis salinan pertama majalah itu yang diterbitkan pada 1953.

Ia berjaya meraih bidaan tertinggi, AS$162,500 (RM679,234) manakala salinan peribadi untuk isu pertama yang menampilkan Marylin Monroe, dijual pada harga AS$31,250 (RM130,622).

Hefner yang bertanggungjawab terhadap revolusi seksual pada 1960-an dengan menerbitkan majalah dan menubuhkan kelab malam, meninggal dunia pada September 2017 pada usia 91 tahun. Mendiang mewariskan harta kepada yayasan miliknya dan terdapat barangan peribadi miliknya sudah dijual.

Antara beberapa barangan pelik milik Hefner yang turut dilelong adalah sebentuk cincin emas yang mempunyai ruang untuk menyimpan pil ‘Viagra’ dan ia dilelong pada harga AS$22,400 (RM93,630).

Turut dilelong adalah set lengkap julat majalah Hefner, dari tahun 1953 hingga 2013, dijual dengan harga AS$76,800 (RM321,016) dan topi kapten putih milik mendiang dijual pada harga AS$19,200 (RM80,254). - Reuters

964 dibaca
Berita Harian X