Sabtu, 8 Disember 2018 | 1:40am
SEORANG wanita memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM416) daripada hotel Hampton Inn dan Suites di Albany. - Foto Google

Rangkaian Hotel Hilton disaman RM416 juta

CHICAGO: Seorang wanita memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM416) daripada rangkaian Hotel Hilton, mendakwa beliau dirakam berbogel dalam bilik mandi oleh kamera tersembunyi ketika menjadi tetamu hotel berkenaan.

Rakaman itu kemudian dimuat naik ke beberapa laman lucah.

Plaintif yang tidak dinamakan itu menyaman hotel berkenaan kerana cuai, menyatakan beliau mengalami kecederaan psikologi teruk dan berkekalan, selain gangguan mental, tekanan emosi dan kecederaan lain, seperti perbelanjaan perubatan dan kehilangan pendapatan.

Wanita berkenaan ialah tetamu hotel Hampton Inn dan Suites di Albany, pada Julai 2015 ketika mengambil peperiksaan guaman selepas lulus sekolah undang-undang.

Beliau dirakamkan berbogel sepenuhnya ketika mandi oleh kamera tersembunyi, menurut tuntutan saman 19 muka surat.

Namun beliau tidak mengetahui perkara itu sehingga September 2018 apabila menerima emel berbunyi ‘Ini awak, bukan?’ dengan pautan kepada video di laman lucah yang disiarkan dengan nama penuhnya.

Individu sama kemudian menghantar emel ugutan, mengaku mengetahui universiti dan di mana mangsa bekerja.

Apabila ugutan itu tidak dilayan, video berkenaan muncul di pelbagai laman lucah lain.

Jurucakap Hampton Inn berkata, mereka terkejut dengan dakwaan itu, berkata tiada peranti perakam ditemui di bangunan itu.

“Hotel ini menjalani ubah suai sepenuhnya. Ketika proses itu, tiada peranti rakaman ditemui,” kata kenyataan hotel, berjanji untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa. — Agensi

Berita Harian X